KASIH YANG TIDAK DIIKUTI, CINTA YANG TIDAK MEMBENARKAN…..
Fitrah manusia, sukakan kepada yang zahir. Semuanya hanya diukur apabila dilihat oleh mata, yang dilakukan oleh perbuatan dan dialunkan melalui percakapan. Tidakkah kita terfikir, semuanya itu datangnya daripada hati yang mengemudi diri. Jika hatinya gundah, akan melahirkan perbuatan yang sia-sia. Jika hatinya rosak,akan mewujudkan penilaian fikiran yang bercanggah.
Tanggal 12 rabi’ul awwal merupakan tarikh keramat bagi sesetengah daripada kita. Mungkin, ada yang fanatik kepada tarikh ini, mungkin juga ada yang leka dengan tarikh ini. hinggakan, cuti umum diberikan bagi mengingati junjungan kita Muhammad s.aw. jika dilihat diakhbar mahupun di televisyen, rata-rata bersemangat untuk menyatakan cinta kita kepada nabi, kasih kita kepada Rasulullah. Namun, cukupkah kita sekadar cinta dan kasih nabi hanya pada 12 Rabi’ul awal sahaja? Kasih kepada nabi adalah sepanjang zaman, cinta kepada nabi adalah seluruh anggota badan. Ingat lah pesan nabi dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a ‘ demi jiwaku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu itu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayahnya dan anaknya’
Kelahiran nabi bukanlah sebagai satu cerita sejarah yang hanya terpahat dalam kitab-kitab agama ataupun buku cerita kanak-kanak. Tetapi, kelahiran insan yang bernama Muhammad bin Abdullah itu merupakan rahmat bagi seluruh alam. Sepertimana firman Allah dalam surah al-anbiya’ ayat 107 yang bermaksud “dan tidaklah Kami utuskan Engkau-wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam” . Sesungguhnya perutusan Baginda sebagai rasul adalah dengan misi yang agung iaitu mentauhidkan Allah. Alangkah indahnya jika kita mengambil sejarah bukan sekadar untuk diingati, tetapi untuk diteladani. Coretan-coretan sirah junjungan kita bukanlah seperti nota yang hanya dibaca apabila perlu, tetapi ianya merangkumi seluruh perutusan Allah s.w.t untuk sekelian umat.
Kecintaan kepada Nabi bukanlah hanya pada 12 Rabiul’awal, tetapi pada sepanjang masa. Selagi mana belum terhenti pernafasan, belum mati degupan jantung, selagi itulah kami akan berusaha untuk mencintaiMu ya Rasulullah. Kembalilah kepada agama, kerana dalam agama itu adanya ketenangan dan keselamatan. Kehidupan kita di dunia hanyalah ibarat satu perniagaan yang akhiratnya merupakan perhitungan antara untung dan rugi.
Kehadiran Nabi, adalah merupakan pemisah ntara hak dan batil. Penunjuk antara yang benar dan dusta. Sesungguhnya dengan mengikut nabi itu adalah perintah Allah, menyayangi Nabi itu merupakan suruhan Allah. Kisah Abu Talib yang begitu menyayangi Baginda dapat dijadikan iktibar. Meskipun semasa hayatnya, dia amat mencintai Nabi, tetapi dia tidak mengikut ajaran Nabi maka dirinya tidak akan selamat di akhirat kelak. Kita memohon supaya kita terhindar daripada salah seorang yang hanya mencintai Nabi tetapi tidak mengikut ajaran nya. Allah itu maha Pengampun lagi maha Mengasihani. Pohonlah kepada Allah agar ditetapkan pendirian kita. Sesungguhnya hati kita hanyalah kepada agama. Allah berfirman “katakanlah-wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani” surah Ali ‘Imran:31.
Jika kita kasih kepada Rasulullah, ikutlah segala pesan baginda. nescaya, kita akan selamat. Jika kita cinta kepada Rasulullah, benarkanlah apa yang disuruh oleh Baginda. Sesungguhnya kasih yang tidak diikuti, cinta yang tidak membenarkan itu hanyalah satu daripada perasaan seorang Muslim yang tidak berdiri di alam nyata. Dikala ramai yang menyayangi Nabi-Mu itu, disaat ramai yang mengikut Nabi-Mu itu, kami memohon kepadaMu, agar kami yang lemah ini diberikan kekuatan untuk terus memperjuangkan agama-Mu, agama Nabi kami. Engkau lindungilah kami dari sebarang kegusaran untuk bertawakkal kepada-Mu. Kami mengaku akan segala nikmat-Mu kepada kami. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun lagi Maha Pemberi nikmat.
Hijrah_remaja.1010